DIRI SAYA

SUDAH berjinak-jinak dengan arena ini sejak kecil lagi terutama memancing di kawasan tasik dan sungai. Pada tahun 1990, hobi ini terhenti seketika apabila menyahut tawaran bertugas di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur.

Oleh kerana kesibukan dengan bebanan tugas yang tidak menentu, segala riadah yang dikecapi sebelumnya seolah-olah menghilang dan masa tidur pun sama.

Bagaimanapun mulai tahun 2003, selepas bertukar ke bidang baru, suasananya sedikit berbeza kerana fokus kerja lebih terarah kepada waktu pejabat iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Keadaan itu membuatkan saya mempunyai lebih banyak masa berehat dan melakukan sesuatu yang difikirkan terbaik untuk saya.

Minat memancing kembali menjelma sewaktu salah seorang rakan mengajak saya untuk pergi memancing. Katanya, tidak perlu bawa apa-apa asalkan saya turut serta. Tanpa soal bicara, saya terus bersetuju dan menerima ajakan dia.

Sebaik sahaja sampai ke lokasi pancing dan mematikan enjin kereta, rakan saya terus menuju ke arah bonet kereta dan mengambil peralatan memancing. Ketika itulah rakan saya tanpa diduga  menyerahkan joran dan mesin.

“Hello bro…nah ambil joran dan mesin ini yang baru aku beli tadi. Ini hadiah dari aku sebelum kita memancing,” kata dengan selamba.

Dikala itu, saya agak terkejut bukan kepalang kerana tak menduga bukan sahaja menerima hadiah tersebut tetapi mula terbayang secara tiba-tiba hobi yang sekian lama ditinggalkan kini kembali menjelma. Agaknya masa dah tiba untuk saya ‘merujuk’ semula hobi sejak kecil ini.

Kini, segala-galanya sudah berubah. Setiap kali selepas waktu pejabat, saya akan pergi memancing bersama rakan-rakan dan turut mengambil bahagian dalam pertandingan memancing di sekitar Lembah Klang.

ROSTAM, joranpancing@gmail.com




%d bloggers like this: